Persamaan si Tudung dan Topi Keledar

Pakai tudung ini seperti pakai topi keledar..

Benarkah?

Ya. Topi keledar menjaga keselamatan nyawa. Tudung pula menjaga keselamatan akhlak.

Benarkah? Kalau begitu mengapa mereka yang bertudung masih tidak dapat menjaga akhlak?

Seperti topi keledar juga, Ada keadaan tertentu yang topi keledar tidak mampu menyelamatkan nyawa pemakainya. Pelumba haram, pemandu laju, pemandu cuai..Semuanya memakai topi keledar tetapi itu tidak dapat menyelamatkan nyawanya.

Maksudnya?

Ada yang lebih penting daripada sekadar memakai topi keledar. Antaranya memandu berhati-hati. jangan terlalu laju, mematuhi peraturan jalan raya dan sebagainya. Kaitannya dengan tudung, bertudung sahaja tidak cukup bahkan tingkahnya laku tidak liar, pergaulan terkawal, pandangan mata juga sentiasa dikawal. Sekiranya tidak , bertudung tidak mampu menjaga maruah dan akhlak.

Sekiranya begitu, di mana kelebihan bertudung?

Seperti topi keledar juga, ia memberi pelindungan sebab macam mana pun kita berhati-hati, mematuhi undang-undang kekadang berlaku juga kemalangan yang bukan disebabkan kecuaian sendiri tetapi kecuaian orang lain. Waktu itu siapa yang bertopi keledar, maka kuranglah sikit risikonya.

Tetapi tudung sekarang pelbagai fesyen?

Macam topi keledar juga. Ada macam-macam. Ada yang mengikut piawaian keselamatan. Ada yang tidak. Kekadang gaya sahaja yang lebih, bahannya rapuh. Yang malangnya, topi keledar sudah baik tetapi cara pakai pula tidak kena. Tali dibiarkan longgar dan main sangkut-sangkut sahaja.

Kaitannya?

Pakai tudung dan tutup aurat ini dua perkara berbeza. Ramai bertudung tetapi tidak menutup aurat. Tutup aurat ada konsep dan falsafahnya. Ia dibuat atas dasar iman dan cara perlaksanaan mengikut syariat dan tujuan akhirnya untuk mencapai akhlak. Tapi pakai tudung ini macam-macam. Mungkin niatnya mahu 'glamour', mahu cantik dan bergaya.

Jadi salahkah bertudung mahu cantik? Islam itu indah bukan?

Tidak salah tetapi yang utamanya adalah kerana Allah. Atas dasar iman. Kemudian dibuat mengikut syariat. Mana patut ditutup, maka ditutup. Labuhnya dan singkatnya mesti menepati kehendak syariat. Dengan itu barulah maruah wanita itu terpelihara. Dan InsyaAllah selamat dari gangguan!.

Tapi kadangkala orang bertudung menghina orang tidak bertudung?

Orang bertudung mugkin boleh menghina orang tidak bertudung. Tetapi orang yang menutup aurat, jika dia benar-benar menghayati konsep menutup aurat, dia tidak akan sekali-kali memandang hina orang yang tidak bertudung.

Bagaimana pula orang yang tidak bertudung akhlaknya lebih baik daripada yang bertudung?

Ia umpama orang yang memandu dengan hemat dan cermat, tetapi tidak memakai topi keledar!
___________________________
Aku copy petikan ni dari facebook.Di 'post' di wall kelab debat.Aku tertarik dengan perumpamaan yg dibawakan macam helmet dan tudung.Helmet menyelamatkan nyawa dan tudung menyelamatkan akhlak.Yang bertudung tapi akhlak tak betul tu sama dengan memakai helmet tapi nyawa terancam.Puncanya ? cara  pemakaian yg tak sempurna.Sekadar renungan untuk semua di bulan ramadhan.

Labels: , ,